RSS
email

Link Exchange

1

To Look Good

Tiada yang lebih indah dari rupa, kerana yang tersimpan di dalam hati itu tiada siapa yang mampu menerka. Namun, andai satu hari ianya terbuka, sudah pasti yang dipandang hanyalah isi hati. Si kacak dan si rupawan, walaupun berhati busuk kan sentiasa dipuja andai bertindak hipokrit dalam setiap tindak. Bila pecah tembelang, pasti dialah yang sentiasa menjadi buah mulut dan akhirnya dianggap macam sampah yang hanya cantik pada rupa. Si buruk, kadang-kadang tiada siapa yang peduli akan halnya…

Hipokrit, adakah tingkah laku saya cuba berlaku baik di hadapan orang adalah satu kesalahan? Adakah sama sang pelaku maksiat yang bangga dengan lagak ‘sopannya’ jika dibanding dengan yang bermaksiat secara sembunyi. Andai aib terbuka, andai aib dicerita, tiada siapa yang suka. Sampai satu masa, kerana sudah terbiasa dan meluat dengan kritikan orang, dia hanya mampu berkata, “So What?”.

“Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.” (HR. Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Read more: http://ustazlove.com/blog/2011/03/soal-jawab-hadis-larangan-membuka-aib/#ixzz1o14uyBu4

Saya selalu bermain dengan persoalan semasa menulis, adakah apa yang saya sampaikan ini hanya untuk menunjukkan bahawa diri saya baik orangnya. Kadang-kadang, memang niatnya begitu. Tetapi, ada masa juga setiap pengisian dan perkongsian itu lahirnya daripada lubuk hati. Ada masa pula saya memang ikhlas bersedekah, namun ada juga masa saya terasa ingin menunjuk pada orang bahawa saya ini baik orangnya. Saya tersangat pasti bahawa saat saya tidak ikhlas, Allah tidak memandang langsung apa pekerjaan yang saya buat. Tetapi, walaupun Allah tahu saya ini hipokrit, Allah tetap adil memberi pahala andai saya beribadah dengan hati yang jujur dan tulus.

Tetapi, manusia selalunya tak pernah adil.

Saya kenal ramai orang, yang suka bercakap belakang. Walaupun orang itu baik, banyak budinya, tetapi jika ada sedikit aibnya pasti akan hangat dicerita. Saya sangat anti bila ada orang yang suka membuka aib orang, tetapi apakan daya mulut tak cukup lancang melontarkan nasihat walaupun sepatah dua. Hanya senyuman tawar menghiasi muka. Alahai, apa pula agaknya perasaan anda andai anda pula dikutuk sedemikian rupa, pasti tidak mahu bukan? Patutlah, dinisbahkan mengumpat, mencela, dan memfitnah dengan perbuatan ‘makan daging’, ‘membunuh’, dan ‘masuk neraka’. Cukup besar dosanya, tetapi lagi besar dosa lagi suka orang melakukannya. Ermm.. Nyum nyum…

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Al-Hujurat, 49:12)

Teruskan berniatkan kebaikan

Jangan sentiasa merasa diri itu hipokrit, dan sentiasa membatalkan niat baik yang sedia ada. Lebih baik amal yang tidak dikira daripada dosa yang dibuat dengan rasa bangga. Serahkan penilaian hanya pada Allah yang esa. Kadang-kadang, atas ehsan Allah, insyaAllah diturunkan rahmat buat kita. Tak salah sebenarnya untuk ‘nampak baik’ di hadapan orang atas dasar menjaga maruah dan kepercayaan, dan ia sebenarnya berbeza dengan maksud riyak yang menghampirkan diri kita pada syirik. Namun tetap saya katakan, adalah lebih baik andai hati itu hanya milik-Nya, bukan mencari pandangannya manusia. Betul tak?

Semoga rantai kebaikan itu membawa kita lebih dekat kepadanya. Agar Bisa Menangis~

Motivasi diri: Kadang-kadang kita di atas, tapi kadang-kadang juga kita di bawah. Tapi jangan seronok sangat duduk di bawah, nanti takut tak boleh naik atas lagi dah. Hehe...


 







Continue Reading»

Read more
2

Nikahilah Dia


“Cinta adalah kekuatan,
yang mampu mengubah duri jadi mawar,
mengubah cuka jadi anggur,
mengubah sedih jadi riang,
mengubah amarah jadi ramah,
mengubah musibah jadi muhibbah,
itulah cinta ....

Sekalipun cinta telah ku uraikan,
dan kujelaskan panjang lebar,
namun jika cinta kudatangi,
aku jadi malu pada keteranganku sendiri ....

Meskipun lidah ku telah mampu menguraikan,
namun tanpa lidah,
cinta ternyata lebih terang ....
sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya ....

Kata-kata pecah berkeping-keping,
begitu sampai kepada cinta ....

Dalam menguraikan cinta,
akal terbaring tak berdaya,
bagaikan keldai terbaring dalam lumpur ....
cinta sendirilah yang menerangkan,
cinta dan percintaan...”

Penyair Sufi, Jalaluddin Ar-Rumi
diterjemah oleh Habiburrahman El-Shirazy
dalam filem "Ketika Cinta Bertasbih"


Puisi-puisi cinta kian lama kian mengalir deras di sekeliling, kad-kad jemputan kian lama kian banyak yang mampir, bilakan pula tiba masanya untuk diri? Wallahua’lam, tetapi bila melihat rakan-rakan sudah mula mencari pasangan terasa pula di dalam diri ini bibit-bibit rasa ingin berpunya. Aduhhh…

Namun, tak pula saya teragak mengikut jejak langkah mereka. Siang malam bercintan cintun meluah madah cinta, berkasih-kasihan di kafe ria, berbual dan berbisik mimpi-mimpi indah ibarat tiada yang ‘kedua’ dan memberi hadiah hanya pada apa yang disuka. Sungguh, itu bukan jalan halal, jalan yang diredhai Allah kerana maksiat bercampur aduk dalam sulaman katanya cinta. Sememangnya jalan itu mampu membawa kepada pernikahan, tetapi tidak wujudkah jalan lain yang lebih mulia?

Tersisip sebuah cita-cita, ingin merasakan hidup mulia dan menikah dengan cara mulia seperti sahabat-sahabat Nabi saw. Merasakan bahagianya hidup di bawah lembayung rahmat, walaupun hidup tidak segah dan sekaya orang lain. Namun, zaman telah berubah dan bukannya mudah untuk pemuda ‘fakir’ dan ‘jahil’ seperti saya untuk menikah wanita mulia yang hebat agamanya. Sungguh, saya masih jauh daripada mampu.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memberikan nasihat berharga kepada segenap pemuda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, ia berkata, “Kami pernah bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai kelompok pemuda yang tidak mempunyai apa-apa.” Beliau bersabda,
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ, فَإِنَّهُ أغَضُّ لِلْبَصَرِ,وَأَحْصنُ لِلْفَرْجِ,وَمَنْ لَمْ يَسَتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِا لصَّوْ مِ, فَإِ نَّهُ لَهُ وِ جَاءٌ
Wahai sekalian pemuda, barang siapa di antara kalian yang telah mampu maka menikahlah, karena menikah lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Barang siapa yang belum mampu maka hendaknya ia berpuasa sebab puasa bisa menjadi perisai baginya.” (H.r. Bukhari, no. 5066; Muslim, no. 1400)

Tujuan menikah, selain untuk meraih cinta abadi adalah supaya kita lebih menundukkan pandangan dan lebih terjaga kemaluan kerana itulah sumber lahirnya nafsu. Tanpa memandang, nafsu tidak mudah terlahir. Aduh, sukar sebenarnya untuk tidak memandang tetapi kita sewajibnya sangat perlu mencuba menahan gelojak nafsu yang bangkit. Sungguh, itulah kehidupan mulia yang jarang dipandang oleh muslimin zaman sekarang yang hanyut dalam arus dunia.

Walaubagaimanapun, bagi sahabat-sahabat saya yang sudah berpasangan. Saya menasihatkan agar cepat-cepatlah menikahi si dia. Elakkan  berlama-lamaan dalam khayalan cinta yang kita ciptakan kerana takut-takut nanti pelangi angannya musnah begitu sahaja dan dosa yang terkumpul hanya membawa kita ke neraka. Na’uzubillahi min zalik. Saya pula, mungkin masih perlukan masa dalam setahun dua dan umur 25 mungkin umur maksimum yang saya letakkan untuk berhibur sebagai teruna.

Sahabat saya ada bertanya kepada saya tentang bagaimana caranya saya mahu menikah sedangkan tidak berpasangan. Dia pula yakin dia akan menikah tidak lama lagi kerana sudah ada kekasih hati.Saya hanya mampu memberikan senyuman sebagai jawapan kerana bukannya soalnya saya mampu ataupun tidak mendapatkan pasangan, tetapi soalnya halal ataupun tidak sahaja. Wallahua’lam, saya hanya mampu berusaha mencari yang halal. Hehe…

Sekian sahaja perkongsian, harap agar jodoh mempertemukan kita dengan kekasih yang didamba dalam jalan yang diredhai-Nya. Entry di atas adalah bersempena dengan hari pernikahan sahabat saya yang saya sempat hadiri beberapa hari lepas. Semoga jodoh berpanjangan dan semakin bertambah kasihnya tuhan. Wallahua’lam…


Rombongan kawan-kawan SMAPL

Tahniah kepada kedua-dua Muhammad Akmal dan Nurul Akmal.
Semoga senantiasa bahagia hingga ke syurga.



Continue Reading»

Read more
1

Sahabat Yang Tak Dianggap

Kisah ini mengenai seorang sahabat saya. Kisah bersahabat…

Hampir 5 tahun kisah ini terbuku, akhirnya diluahkan juga kerana semakin lama semakin terasa menyakitkan. Walaupun secara lahirnya dia masih seperti biasa, tetapi sejak dia berubah kebelakangan ini membuatkan saya tertanya-tanya akan apa gerangan halnya. Mata menatap mata, namun tak ada apa yang terluah. Akhirnya saya hanya minta pada dia untuk cuba berkongsi dengan menggunakan gtalk. Dia mengangguk perlahan, walaupun sebenarnya mahu tidak mahu.

Akhirnya malam itu menjadi penentu..



Mungkin mudah untuk saya perihalkan sahabat saya ini sebagai seorang da’ie yang kecewa. Kisah ini bermula sejak dia mula-mula lagi berkecimpung dalam dunia tarbiyah sejak melangkah ke alam universiti. Dengan berbekalkan iman dan ilmu yang tidak seberapa, akhirnya dia terlibat dalam dunia yang penuh survival. Survival of the fittest da’ie.

Saat mula-mula mengenal tarbiyah, dia tidak punya sesiapa. Namun muncul beberapa figur yang senantiasa cuba membantu, senantiasa berada di sisi, dan senantiasa memberikannya nasihat dan teguran. Bahkan, banyak perkara jahiliyah telah ditinggalkannya. Terasa baginya bahawa itulah hidayah, yang dihulurkan Allah kepadanya untuk menjadikannya lebih ‘manusia’ dan daripada situ dia mengenal seorang ‘sahabat’. Sahabat yang memperlakukannya seperti ‘sahabat yang tak dianggap’.

Pernah beberapa kali dia ditawar untuk duduk sebilik bersama. Niatnya supaya terjaga iman, dan supaya dapat senantiasa bermuzakarah. Dan dengan lapang dada, tawaran itu diterima. Namun, alangkah baiknya tawaran itu ikhlas bukan kerana dipaksa ataupun kerana  kepentingan diri sendiri. Dia hanya meredhai takdir itu. Meskipun keaibannya disebarkan, meskipun kelemahanannya dikeji, meskipun masa untuk bersama kawan-kawan sekelas berkurang dan hampir hilang, dia redhakan juga kerana itulah ‘ikhlas yang dituntut’.

Habis satu semester, ‘sahabat’ itu meminta untuk bertukar bilik kerana beberapa alasan walhal dia tahu bahawa ‘sahabatnya’ itu hanya cuba melarikan diri. Serik dengan kelemahan daei yang baru sahaja mahu belajar itu. Katanya juga untuk meningkatkan prestasi akademik. Wallahua’lam, hanya Allah sahaja yang tahu, tetapi dia menerima sahaja keputusan ‘sahabatnya’ itu.

Beberapa semester seterusnya diteruskan dengan sahabat-sahabat dakwah lain. Kata mereka, “Enta perlu duduk satu bilik dengan ikhwah supaya iman terjaga, supaya enta tak merapu buat benda-benda lagho dan supaya enta tsabat.” Kerana thiqah dan percaya, dia tak mempersoal. Namun, bukan mudah. Dek kerana tak berapa pandai membahagi masa dan keutamaan, akhirnya akademik semakin jatuh. Tetapi dia tak merasa menyesal sedikit pun, bahkan tenang kerana dakwah dan Allah di sisinya. Itu sudah cukup baginya, begitulah apa yang dirasa.

Kemudian, sampai satu masa. ‘Sahabat’ itu menawarkan lagi untuk sebilik dengannya dengan alasan yang sama seperti sebelumnya. Walaupun dengan hati berat, tawaran itu diterima tanpa banyak soal dan itu katanya untuk kepentingan dakwah. Jadi, tak ada salahnya dan yang penting hanya perlu ikhlas. Namun, perkara sama berulang bahkan terasa lebih teruk, kerana jurang menjadi lebih besar  dan ego masing-masing semakin menebal.

Tiada senda gurau, tiada pertanyaan khabar, tiada tolak ansur dan bahkan tiada teguran penuh hikmah dan sabar dilontarkan. Yang ada hanya renungan masam, sangka buruk, dan kritikan-kritikan sinis yang hanya menambah perencah kekusutan. ‘Sahabatnya’ itu langsung tidak memberikan layan yang sama seperti yang diberikan pada sahabat-sahabatnya yang lain. Dengan mereka, ‘sahabat’ itu bermanis muka, bergurau senda, bercakap sopan, dan bercerita kencang. Namun dengan dia, yang terlahir ‘kehambaran’.

Tetapi, semua itu tiada hal baginya. Sabar tetap sabar. Masa berlalu lagi, dan tanpa dirancang segala apa yang dipendam semakin bernanah dan kini hujungnya sudah semakin parah. Sejak baru-baru ini, ingin melihat wajah ‘sahabat’ itu sahaja sudah membuatkannya meluat. Segala apa yang dibuat, dan dicakapkan pasti segalanya membuat dia semakin sakit hati. Segala amarah yang terpendam akhirnya menjadi sebab supaya dia semakin benci kepada ‘sahabat’nya itu. Wallahua’lam, dia tahu syaitan yang mengobarkan rasa sakit dihatinya itu, tetapi beberapa peristiwa membuatkan hati itu sukar untuk memaafkan lagi.

Saya tahu, semua itu adalah sebuah perkongsian dan dia tak mengharap pun nasihat daripada orang kerana dia serba tahu mana silapnya dan dia tahu egonya itu tidak membawanya kemana-mana. Dia hanya berserah dan mengharap agar waktu mengubat rasa sakit dan sedihnya itu. Sungguh, saya pun tak mampu berkata apa. Saya hanya berdoa agar Allah sentiasa membimbingnya dan berharap agar dia tidak terlarut maksiat sampai mensyirikkanNya.

Wallahua’lam, kisah seorang sahabat yang tak dianggap…

Dari Uqbah bin Amir, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda, “wahai Uqbah, bagaimana jika kuberitahukan kepadamu tentang akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama? Hendaklah engkau menyambung hubungan persaudaraan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, hendaklah engkau memberi orang yang tidak mau memberimu dan maafkanlah orang yang telah menzalimimu.” (HR.Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baghawy).


Continue Reading»

Read more
0

Maulidur Rasul: Our Identity

Malam yang semakin tenggelam dengan kegelapan, dan tatkala masa sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi, masih lagi terdapat beberapa gelagat manusia yang sedang sibuk melakukan aktiviti-aktiviti mereka. Sudah menjadi kebiasaan bagi Bandar Kuala Lumpur, waktu tidurnya tidak menentu dek kerana gerangan manusia yang hilang arah tujuan. Ada juga yang tika itu, sedang berhempas pulas memerah keringat untuk mencari rezeki. Waktu tidur tidak lagi menjadi waktu bermain di dalam mimpi-mimpi indah…

“Cheersss!!Hahahaha...” kedengaran di suatu sudut satu sorak sorai keamatan dan kegembiraan. Mereka bukannya menonton perlawanan bola sepak antara Chelsea dan Manchester United, mahupun perlawanan Malaysia bertembung dengan Bahrain. Kelihatan di atas meja mereka, satu set Shisha dan juga beberapa hidangan air dan makanan. Beberapa orang melayu sedang berseronok, tidak tahu apa yang diraikan tetapi terdapat 4 pasang lelaki dan perempuan sedang berbual-bual rancak. Seorang daripada mereka sibuk meneguk air berjenama Guinness, wajahnya merah-merah separa mabuk. 

Gambar Hiasan


Tiba-tiba mereka ketawa lagi, kali ini tidak sekuat tadi bahkan masing-masing sudah mula lalok. Setiap pasangan sudah mula berbual sesama mereka sahaja, ditusuk permainan nafsu. Sambil khayal, sambil itu tangan nakal meliar. Selepas penat melayan shisha, mereka akhirnya bangkit dan mula bermain-main bahasa, katanya sudah penat dan ingin segera pulang. Padahal, nafsu serakah sudah menjadi raja dan tidak ada apa yang menemani mereka melainkan syaitan.

***

Aku Punya Peribadi

Di antara diri saya dan diri kamu, kenapa kita berbeza? Sedangkan kembar masih lagi boleh dibezakan, inikan pula diri saya dan diri kamu yang jelas berbeza wajah, bentuk badan, bau, warna, dan tinggi. Jikalau kamu wanita, jelas sekali kita banyak bezanya. Walaupun kita cuba menjalankan pembedahan plastik sekalipun, pasti ada perbezaannya. Sungguh unik, sungguh menarik, dan ia membuat kita ingin untuk mengenal satu sama lain.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat, 49:13)
Jelas, peribadi yang membuat kita unik dan istimewa.

Peribadi yang Sesat

“I know what I’m doing..” Satu butir kata-kata yang selalu ditonjolkan dalam watak-watak egois dalam lakonan filem-filem orang putih.  Antara lain, “I am who I am” yang bermaksud “aku adalah aku” dan ini melahirkan sifat manusia yang bertindak mengikut nafsu dan naluri diri semata-mata.


Soal pakaian. Kenapa perempuan tidak memakai tudung? Orang bertatu, bertindik sana sini, rambut berwarna-warni, dan sampai kadang-kadang lebih suka berbogel dari berbaju. Kenapa?

Soal hiburan. Kenapa ramai juga orang yang pergi ke kelab malam? Berjudi siang malam, minum arak sampai mabuk, berzina tiap-tiap hari, enjoy sana sini, dan menari tak henti-henti. Sampai terasa susah nak sembahyang, sampai terasa susah nak menyebut kalimah tuhan. Kenapa?

“Ini hidup aku, lantak aku lah nak buat ape. Kau apasal nak kisah?” – satu jawapan dari peribadi yang sudah mula sesat.

Our Identity – Al-Quran wa Sunnah

Untuk menundukkan diri kepada tuntutan Allah, sebenarnya bukanlah satu perkara yang mudah. Akal yang berlaku sombong, sentiasa tertipu dan terikut-ikut kata nafsu.

“Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu[422], Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu, (Al-Maa’idah, 5:48)

Dunia sekarang, dek kerana ingin mengejar kemajuan barat, orang Islam pun sanggup meninggalkan identiti mereka. Baju berconteng tulisan-tulisan yang lucah, mulut penuh carutan bahkan facebook pun tidak terlepas carutannya, sibuk berpasang-pasang dan bercintan-cintan, dan akhirnya mereka terlupa tanggungjawab yang ada pada mereka. Sungguh, krisis identity semakin menjadi-jadi.

Sempena Maulidur Rasul tahun ini, sama-samalah bermuhasabah akan berapa banyak diri kita memilih ego diri dan sukar untuk menundukkan nafsu. Memang tak salah untuk membentuk identiti diri sendiri, tapi bentuklah ia supaya sejajar dengan tuntutan Allah dan menepati sunnah Nabi Muhammad saw. Saya juga antara kalian yang senantiasa leka, dan ego saya juga bukan calang-calang. Tapi, yang benar tetap benar, dan yang salah tetap salah. Tidak guna untuk kita campur adukkan ia.


Agar Bisa Menangis~




Continue Reading»

Read more
1

Doakan Harimu

Terik matahari menambahkan lagi kepanasan yang dirasai. Haba yang meruap dari segenap penjuru bilik membuatkan badan terasa berpeluh-peluh sedangkan tadi Siti baru sahaja selesai mandi. Dengan kepanasan bersuhu 36 darjah celcius, tekak yang semakin dahaga meminta-minta untuk disirami air. Siti yang sudah tidak boleh duduk tenang turun daripada tangga dan terus menuju ke dapur. Tangannya ligat membancuh teh epal kesukaannya dan dia juga memotong kecil-kecil buah mangga yang disimpannya di dalam peti ais. Untuk menyejukkan lagi suhu badan, dia menambah ketulan ais kedalam minumannya dan memasang kipas dengan kelajuan maksimum. 

Sambil berehat di ruang tamu, Siti membuka suis televisyen dan mengambil surat khabar yang dibeli ayahnya. Sepatah demi sepatah ayat dibaca, helaian pula diselak sehelai demi sehelai, dan yang kedengaran hanyalah keluhan demi keluhan. Sekian banyak perkara yang membuatkan akalnya runsing dan berdenyut-denyut. Dunia tidak pernah habis dengan kes-kes rogol, bunuh, rompak dan penyeludupan. Dunia politik pula dipenuhi dengan isu-isu rasuah, fitnah, pecah amanah, dan pergaduhan antara parti-parti. Seperti tiada sudahnya, kesilapan demi kesilapan diulang dan penjenayah muncul ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.  

Satu persoalan tiba-tiba timbul di benaknya. “Adakah manusia semakin tidak mempercayai tuhan?”



***

Kita Berbeza

Apakah yang membezakan non-muslim dengan muslim? Ianya bermula dengan prinsip kehidupan. Prinsip kehidupan bertuhan tidak sama dengan orang yang hidup bebas dengan peraturan rekaan sendiri. Kita percaya ada perkara yang tuhan telah tetapkan sebagai larangan dan ada perkara yang menjadi kewajipan. Tanpa tuhan, kita tidak tahu sebab apa kita diciptakan dan ke arah mana kehidupan ini perlu diteruskan.

Tony tidak akan memulakan harinya dengan Bismillah. Tidak akan makan, minum, masuk ke tandas, menaiki kenderaan, belajar, keluar rumah, memakai baju, dan tidur dengan membaca nama tuhan.

Selena tidak perlu untuk menunaikan solat mahupun berpuasa. Dia bebas tidur sepanjang hari, berhibur setiap saat dan waktu, bahkan dia boleh sibuk dengan apa urusan pun tanpa memikirkan bahawa waktu solat sudahpun tiba.

Ah Leong tidak perlu memikirkan sedikit pun perihal dosa dan pahala. Dia boleh berjudi semahunya, minum arak sepuas-puasnya, berzina sebanyak-banyaknya, dan juga membunuh sekiranya dia menyukainya.

Wishful Thinking

Tapi, apa yang membawa kepada persamaan antara kita semua adalah kewujudan naluri untuk berharap dan saya sangat pasti di dalam hati saya bahawa saya sentiasa meminta-minta. Tidak tahu meminta pada siapa, tapi ia selalu meronta mengatakan keinginannya dan saya tahu bahawa tuhan sentiasa mendengarkannya.

Dan tahukah kita, orang bukan muslim juga kebanyakannya berdoa dan berharap pada tuhan mereka yang mana kita sebagai muslim menganggap tuhan yang mereka sembah itu hanyalah sembahan berhala yang bisu dan tuli. Walaupun Allah swt Maha Mendengar, tapi Dia pasti akan melebihkan hambaNya yang beriman. Tapi malangnya, kita memperlakukan Tuhan hanya seperti satu alat…

Satu hubungan yang romantik, andai seorang kekasih sentiasa ingat pada kekasihnya. Sentiasa dikirimkan mesej-mesej kasih dan cinta sesama mereka. Sekiranya si pasangan menangis-nangis, meronta-ronta kerana cintanya tidak kesampaian, pasti kita terasa simpati. Sebagai seorang hamba, sungguh tampak bodohnya jikalau terlihat tidak mengendahkan langsung kasih dan sayang yang dilimpahkan ‘Tuan’nya. Bahkan, ada masa kita mencaci maki tuhan. Sangat sakit hati, saat mendengar non muslim mencarut-carut dengan nama tuhannya. Lagi teruk, andai terdengar seorang muslim pula mencarut sedemikian kerana ikut-ikutan. Sungguh, manusia terkadang terlebih kebodohannya.



World Peace

Apa pula kaitan world peace dengan doa? Mungkin world peace yang saya maksudkan, adalah keamanan pada diri sendiri. Apabila diri kita ‘aman’, maka orang lain juga akan terasa amannya. Kita tidak akan menganggu ketenteraman orang, andai kita sudah tenang dan merasa cukup. Bagaimana hendak merasa aman? Sedar antara tidak, sekiranya sudah mempunyai ‘teman’ di sisi, pasti itu sahaja sudah cukup dan sebaik-baik teman adalah Allah dan yang kedua pula adalah sahabat yang beriman dan sangat suka menasihatkan.

Kita sudah menjadikan tuhan sebagai teman, sekiranya kita sentiasa memulakan apa-apa pun dengan Bismillah. Tak perlu dibaca kuat, dan sudah cukup sekiranya ia lahir daripada lubuk hati yang ikhlas. Walaupun seluruh dunia ini masih tidak aman, insyaAllah yang pentingnya kita merasa aman.

Doakan Harimu

Wallahua’lam, sekiranya kita saling sampai menyampaikan kepada teman-teman kita akan betapa indahnya kehidupan bertemankan Allah, pasti kehidupan ini akan terasa lebih aman. Apa salahnya untuk kita kadang-kadang saling doa-mendoakan. Bahkan, mengharapkan kebaikan bagi orang lain adalah satu sunnah dan sekiranya semua manusia sedar akan kepentingan bertuhan dengan tuhan yang sebenar-benarnya, pasti tiada lagi jenayah dan kemaksiatan besar. Itulah hari yang ditunggu-tungu. InsyaAllah~

"Masa muda sebelum masa tua..."



Continue Reading»

Read more
5

Life Is Great

Alhamdulillah wa syukrun lillah.

Sepanjang kehidupan yang dirasai, seindah alam yang dilihat,
Semakin dihirup udara segar, semakin bertambah nikmat terasa segala pemberian Tuhan. Wallahua’lam, mungkin kerana dibawa lalainya dunia aku kurang menulis dan jarang sekali mengingat diri bahawa kehidupan ini sangat hebat dan aku perlu mensyukurinya.


Great, but not good enough

Sebagai seorang lelaki, yang baru mencapai usia pra-matang, agaknya saya masih belum puas dengan hidup ini. Masih banyak perkara yang ingin dicapai, dan banyak juga benda baru yang ingin dijelajahi. Minat dan benci seringkali berubah, kadang-kadang tidak pernah terfikir untuk suka pada sesuatu dan sekarang saya semakin suka akannya. Dan ada juga, yang tak terfikir untuk dibenci, tiba-tiba ianya menjadi perkara yang langsung tidak mahu terlintas bahkan dipadam terus dari ingatan.

That is life, full with excitement yet it doesn’t last long.

Berapa kali diri buntu mencari arah, tapi arah yang dituju tetap juga bukan jalan yang pasti. Kadang-kadang kerana pasrah, keputusan yang dibuat langsung tidak terpikir baik dan buruknya. Soal iman, soal akademik, soal jodoh, soal kewangan, soal masa depan, kadang-kadang mudah untuk hilang pedoman. Dalam buntu, masa berlalu dan tanpa sedar aku berhadapan lagi dengan masalah lain. External problem, yang datang dari manusia di sekitarku yang kadang-kadang langsung tidak tahu kondisi aku dan aku tidak memahami mereka.

People moves forward, but I…

Alangkah indahnya hidup seandainya tersedia cita-cita, cita-cita mulia yang tak dimiliki ramai orang. Hidup dengan cara tersendiri, dengan prinsip dan motivasi tersendiri, dan mendapat redha dan rahmat dari-Nya. Aku harap hidup aku terarah begitu, dan tidak terhanyut hanya pada ambisi duniawi kerana orang yang berambisi duniawi tidak akan terlihat hidup yang lebih kekal dan nyata di akhirat sana. Aku harap suatu hari nanti, aku mampu melihat akhirat itu walaupun diri ini masih lagi penuh noda.

Harapnya juga, aku berjumpa bidadari yang bakal meneman hidup ku di sana. Tanpa sedikit pun memberatkanku, bahkan memacu aku lebih laju ke arah sana. Semoga hayat ini penuh rahmah dan barakah. Dugaan dan badai musibah yang menimpa harap dapat ditempuh dengan hati yang lebih teguh dan prinsip yang tidak goyah.

I want to change my life because life is too great to be wasted. Agar Bisa Menangis~

P/S – entri ini adalah bersempena dengan tahun baru 2012. Semoga sama-sama kita memperbaiki diri, dan maaf andai lama sungguh tidak berupdate. Wallahua’lam~



Continue Reading»

Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Segala bentuk kritikan adalah sangat dialu-alukan. Andai masih lagi ada waktu, saya akan cuba memperbaiki setiap sisi kelemahan..

Jika berminat untuk menyebarkan artikel-artikel yang ada, boleh copy dan juga paste artikel tersebut. Cuma diharapkan dapat menyediakan link kepada blog ini kembali. Tetapi jika tak sudi, tak mengapa. Sama-sama ikhlas yuk~

Wallahua'lam. Saya hanya hamba lemah yang memerlukan kekuatan. 





 

Award

Loading...

Muslim Blogger United

Twitter Update