Terik matahari menambahkan lagi kepanasan yang dirasai. Haba yang meruap dari segenap penjuru bilik membuatkan badan terasa berpeluh-peluh sedangkan tadi Siti baru sahaja selesai mandi. Dengan kepanasan bersuhu 36 darjah celcius, tekak yang semakin dahaga meminta-minta untuk disirami air. Siti yang sudah tidak boleh duduk tenang turun daripada tangga dan terus menuju ke dapur. Tangannya ligat membancuh teh epal kesukaannya dan dia juga memotong kecil-kecil buah mangga yang disimpannya di dalam peti ais. Untuk menyejukkan lagi suhu badan, dia menambah ketulan ais kedalam minumannya dan memasang kipas dengan kelajuan maksimum.
Sambil berehat di ruang tamu, Siti membuka suis televisyen dan mengambil surat khabar yang dibeli ayahnya. Sepatah demi sepatah ayat dibaca, helaian pula diselak sehelai demi sehelai, dan yang kedengaran hanyalah keluhan demi keluhan. Sekian banyak perkara yang membuatkan akalnya runsing dan berdenyut-denyut. Dunia tidak pernah habis dengan kes-kes rogol, bunuh, rompak dan penyeludupan. Dunia politik pula dipenuhi dengan isu-isu rasuah, fitnah, pecah amanah, dan pergaduhan antara parti-parti. Seperti tiada sudahnya, kesilapan demi kesilapan diulang dan penjenayah muncul ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Satu persoalan tiba-tiba timbul di benaknya. “Adakah manusia semakin tidak mempercayai tuhan?”
***
Kita Berbeza
Apakah yang membezakan non-muslim dengan muslim? Ianya bermula dengan prinsip kehidupan. Prinsip kehidupan bertuhan tidak sama dengan orang yang hidup bebas dengan peraturan rekaan sendiri. Kita percaya ada perkara yang tuhan telah tetapkan sebagai larangan dan ada perkara yang menjadi kewajipan. Tanpa tuhan, kita tidak tahu sebab apa kita diciptakan dan ke arah mana kehidupan ini perlu diteruskan.
Tony tidak akan memulakan harinya dengan Bismillah. Tidak akan makan, minum, masuk ke tandas, menaiki kenderaan, belajar, keluar rumah, memakai baju, dan tidur dengan membaca nama tuhan.
Selena tidak perlu untuk menunaikan solat mahupun berpuasa. Dia bebas tidur sepanjang hari, berhibur setiap saat dan waktu, bahkan dia boleh sibuk dengan apa urusan pun tanpa memikirkan bahawa waktu solat sudahpun tiba.
Ah Leong tidak perlu memikirkan sedikit pun perihal dosa dan pahala. Dia boleh berjudi semahunya, minum arak sepuas-puasnya, berzina sebanyak-banyaknya, dan juga membunuh sekiranya dia menyukainya.
Wishful Thinking
Tapi, apa yang membawa kepada persamaan antara kita semua adalah kewujudan naluri untuk berharap dan saya sangat pasti di dalam hati saya bahawa saya sentiasa meminta-minta. Tidak tahu meminta pada siapa, tapi ia selalu meronta mengatakan keinginannya dan saya tahu bahawa tuhan sentiasa mendengarkannya.
Dan tahukah kita, orang bukan muslim juga kebanyakannya berdoa dan berharap pada tuhan mereka yang mana kita sebagai muslim menganggap tuhan yang mereka sembah itu hanyalah sembahan berhala yang bisu dan tuli. Walaupun Allah swt Maha Mendengar, tapi Dia pasti akan melebihkan hambaNya yang beriman. Tapi malangnya, kita memperlakukan Tuhan hanya seperti satu alat…
Satu hubungan yang romantik, andai seorang kekasih sentiasa ingat pada kekasihnya. Sentiasa dikirimkan mesej-mesej kasih dan cinta sesama mereka. Sekiranya si pasangan menangis-nangis, meronta-ronta kerana cintanya tidak kesampaian, pasti kita terasa simpati. Sebagai seorang hamba, sungguh tampak bodohnya jikalau terlihat tidak mengendahkan langsung kasih dan sayang yang dilimpahkan ‘Tuan’nya. Bahkan, ada masa kita mencaci maki tuhan. Sangat sakit hati, saat mendengar non muslim mencarut-carut dengan nama tuhannya. Lagi teruk, andai terdengar seorang muslim pula mencarut sedemikian kerana ikut-ikutan. Sungguh, manusia terkadang terlebih kebodohannya.
World Peace
Apa pula kaitan world peace dengan doa? Mungkin world peace yang saya maksudkan, adalah keamanan pada diri sendiri. Apabila diri kita ‘aman’, maka orang lain juga akan terasa amannya. Kita tidak akan menganggu ketenteraman orang, andai kita sudah tenang dan merasa cukup. Bagaimana hendak merasa aman? Sedar antara tidak, sekiranya sudah mempunyai ‘teman’ di sisi, pasti itu sahaja sudah cukup dan sebaik-baik teman adalah Allah dan yang kedua pula adalah sahabat yang beriman dan sangat suka menasihatkan.
Kita sudah menjadikan tuhan sebagai teman, sekiranya kita sentiasa memulakan apa-apa pun dengan Bismillah. Tak perlu dibaca kuat, dan sudah cukup sekiranya ia lahir daripada lubuk hati yang ikhlas. Walaupun seluruh dunia ini masih tidak aman, insyaAllah yang pentingnya kita merasa aman.
Doakan Harimu
Wallahua’lam, sekiranya kita saling sampai menyampaikan kepada teman-teman kita akan betapa indahnya kehidupan bertemankan Allah, pasti kehidupan ini akan terasa lebih aman. Apa salahnya untuk kita kadang-kadang saling doa-mendoakan. Bahkan, mengharapkan kebaikan bagi orang lain adalah satu sunnah dan sekiranya semua manusia sedar akan kepentingan bertuhan dengan tuhan yang sebenar-benarnya, pasti tiada lagi jenayah dan kemaksiatan besar. Itulah hari yang ditunggu-tungu. InsyaAllah~









1 comments:
Post a Comment