RSS
email

Link Exchange

Kata-kata yang membekas

Johan menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil matanya menjeling tajam ke arah papan kenyataan. Di situ tertampal beberapa helaian kertas yang menyenaraikan keputusan markah ujian lisan untuk pelajar yang lulus cemerlang sahaja. Ada beberapa nama yang seakan-akan serupa dengan nama Johan, tetapi namanya, Muhammad Johan Bin Razali langsung tidak terbit pada mana-mana helaian.

Johan tertunduk memandang lantai, dan dia terus berpatah ke belakang meninggalkan kerumunan manusia yang sedari tadi langsung tidak diendahkannya. Suasana semakin gamat dengan keriuhan manusia bergurau senda dan bergelak ketawa, tanpa mereka sedari ada yang berhati duka hanya kerana kehilangan satu baris nama.

Seorang lelaki berbaju tshirt hitam seperti mengekori Johan daripada belakang. Lelaki itu hanya memerhati, dan tindak tanduknya agak mencurigakan. Sehinggalah Johan tiba di sebuah taman tasik yang terletak di perkarangan universitinya, Johan masih lagi tidak sedar dirinya diekori. Mungkin kerana terlalu bersedih dan kecewa kerana tidak dapat keputusan yang cemerlang walaupun sudah berusaha sebaiknya.

Ketika sedang duduk termenung mengadap tasik di atas permaidani rumput, lelaki berbaju hitam itu menghampirinya daripada belakang.

“Johan, kau buat apa kat sini? Frust semacam je aku tengok.”

“……” Johan mendiamkan diri, matanya mengerling sejenak kepada sahabatnya itu, Malik dan memandang semula ke hadapan.

“Aku tau nama kau takde dalam senarai tu, tapi kan ada lagi 10 nama yang pensyarah kata masih lagi dalam pertimbangan.”

“Macam mana kalau nama aku takde jugak? Arghhhh.. habeslah mase depan aku.” Johan merungut perlahan, nada suaranya semakin serak.

“Ingat Johan, pertolongan Allah itu amatlah dekat bagi hamba-hambanya yang betul-betul bertawakal kepadaNya. Kalau kau duduk merungut macam ni, apa pun tak dapat. Baik kau banyak-banyak berdoa, solat hajat mintak pada Allah. Manelah tau Allah masih berikan kau peluang.”

Johan mengetapkan gigi, melepaskan dengusan nafas terakhir dan terus bangkit daripada tempat duduknya. Dia terasa seperti masih ada harapan terakhir untuknya..

***

Kata-kata yang Membekas

Sejauh mana kekentalan hati seseorang, sejauh mana kekerasan jiwa dan otot yang ada, sejauh mana degil pun dia, pasti ada suatu masa terluka hanya kerana sepatah kata. Sesungguhnya lidah itu mempunyai kuasa yang ajaib untuk mempengaruhi seseorang walaupun ianya adalah selembut-lembut daging.

Apatah lagi hati yang sudah memang sedia lembut, nurani yang sensitif yang kadang-kadang orang menggelar mereka sebagai kuat emosi. Walaupun kata-kata yang dilontarkan hanyalah gurauan harian, tetapi hati itu boleh terguris secara tiba-tiba dan kesannya kadang-kadang boleh menjadi parah dan boleh jadi tidak ada sesiapa pun yang tahu.

Kenapa kata-kata itu membekas? Apakah faktor yang mempengaruhi dan adakah perlu untuk tersentuh dengan kata-kata? Adakah juga bezanya antara sensitif Lelaki dan sensitif Wanita?




Bila Hati Sensitif

Saat yang terbaik untuk hati kita tersentuh adalah ketika kita berada di dalam keadaan sedih, sunyi, tertekan dan takut. Lumrah manusia yang berada di dalam keadaan lemah, dia pasti tersangat memerlukan sesuatu untuk menemani dan membantunya. Tatkala sunyi, sang lelaki mencari seorang wanita untuk mengubati rasa sakit hatinya. Tatkala sedih, sang wanita mencari teman karibnya untuk diluahkan rasa sesak di dadanya. Tatkala tertekan dan takut, seseorang itu mencari Tuhannya sebagai tempat curahan hati yang dirasakan mampu memberikan bantuan ‘ajaib’.

Ketika hati itu sensitif, sekiranya sahabat itu setia menemani dan mendengar luahan rasanya, pasti hatinya sudah cukup senang. Andai dilengkapi pula dengan kata-kata yang sarat nasihat penuh simpati dengan jiwa yang memahami, akan lahir pula rasa sayang pada sahabatnya itu. Kadang-kadang, hanya berkata sepatah dua sudah memberi makna yang besar baginya.

Anda pernah dengar kisah orang bunuh diri, ataupun orang yang mengalami ‘depression’? Hanya kerana kata-kata ianya boleh berlaku. Kadang-kadang ia berlaku tanpa diduga, dan ia biasanya berlaku kerana hati seseorang itu berada di dalam keadaan tidak ‘bersedia’. Orang boleh menjadi murung, menangis tidak henti-henti, mengamuk, pengsan, dan macam-macam lagi. Maka berhati-hatilah dalam berkata-kata, kerana ianya ibarat ‘pedang’ yang mampu membunuh.

Oleh itu, dapatlah kita tahu bahawa unsur yang paling penting untuk membuatkan hati itu tersentuh adalah dengan ‘Kebersediaan Hati’. Jikalau hati itu memang sudah tertutup, cakaplah sebarang apa pun, ia tidak akan memberi kesan.



Rahsia Hati

Ketahuilah, dalam menjalani kehidupan ini, kita sebenarnya sentiasa memerlukan nasihat. Sekiranya tidak, mengapa ramai manusia yang mencari khidmat kaunselor untuk memberikan motivasi kepada mereka. Hanya kerana mencari manusia yang mampu memberikan ‘kata-kata yang membekas’ kepada hati mereka, mereka sanggup menghabiskan ratusan ringgit.

Namun jarang sekali kita lihat manusia itu kembali pada Tuhan, kembali kepada Al-Quran, mengkaji hadith dan sirah untuk mencari nasihat. Kadang-kadang hidayah dan petunjuknya banyak di situ, dan sekiranya dihayati pasti hati yang yang sedih terasa ceria gembira, hati yang sunyi terasa seperti ditemani Allah sepanjang masa, hati yang tertekan terasa tenang kembali, dan hati yang takut menjadi tabah dan berani semula. Segalanya mungkin dengan pertolongan yang Maha Esa. Wallahua’lam

Agar Bisa Menangis

P/S – Pernah merasakan ‘sentap’. Ianya adalah suatu keadaan ketika kata-kata yang dilontarkan dilemparkan tepat pada masanya, dan seakan-akan menyindir tanpa sengaja. Boleh jadi ianya sindiran yang membina, dan boleh jadi ianya boleh menyakitkan hati juga. Maka berhati-hati ye~ (^__^”)


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlan iman mereka(kerananya). Kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Surah Al-anfal – ayat 2)




Bookmark and Share

1 comments:

Anonymous said...

saya mulakan dengan nama Allah yang Maha Bijaksana, Penyayang lagi sangat-sangat belas kasihan pada hambaNya, Tuhan yang suka mengampuni pada hambanya yang bertaubat dan suka memohon maaf dengan kerendahan hati sebgai hambaNya yang lemah dan hina.

saya akhiri juga dengan kalimah... Allah tidak pernah meninggalkan kamu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Segala bentuk kritikan adalah sangat dialu-alukan. Andai masih lagi ada waktu, saya akan cuba memperbaiki setiap sisi kelemahan..

Jika berminat untuk menyebarkan artikel-artikel yang ada, boleh copy dan juga paste artikel tersebut. Cuma diharapkan dapat menyediakan link kepada blog ini kembali. Tetapi jika tak sudi, tak mengapa. Sama-sama ikhlas yuk~

Wallahua'lam. Saya hanya hamba lemah yang memerlukan kekuatan. 





 

Award

Loading...

Muslim Blogger United

Twitter Update