RSS
email

Link Exchange

Erti Hidup dengan Mencinta

Ibrahim baru sahaja tiba dari surau setelah selesai mengerjakan solat sunat terawikh di sebuah masjid. Pada hari tersebut, wajahnya agak berseri dan sambil tangannya memegang bungkusan apam balik yang baru sahaja dibelinya sebentar tadi di gerai di tepi jalanan. Sambil mulutnya rancak menyanyikan lagu raya aidilfitri, dia menaiki tangga lalu terus menuju ke biliknya. 

Selepas merebahkan dirinya di atas katil, telefon bimbitnya bergetar lagi menandakan mesej masuk. Tersenyum lagi Ibrahim, kerana bidadari hatinya kembali menemani selepas terpisah sebentar kerana ingin berjumpa Ilahi. Sambil berbalas mesej, Ibrahim tersenyum sendirian kerana setiap balasan itu membuatkan hatinya semakin tertaut. Dan diakhiri mesej tersebut setelah tiba larut malam dengan pesanan, “Selamat bertahajud sayang, ingat daku dalam doamu..”

Dia tidur sambil memohon agar diputarkan mimpi yang indah-indah buatnya. Hanya ada dia dan kekasih hatinya.



***

Semakin digagahkan, semakin hati itu terluka. Kini wajah Ibrahim tidak jauh bezanya dengan bangkai bernyawa. Matanya legam kerana kerap berjaga malam dan tidak cukup tidur. Bibirnya kering dan selalu mendengus keresahan sebaik sahaja mengenang kisah lamanya. Kini Ibrahim kembali solo, setelah kekasih hatinya telah jatuh hati kepada lelaki lain. Dia menyesal kerana tidak mampu menjalin erat ikatan rasmi antara dia dan kekasihnya.

Namun kini, segalanya telah terlambat dan hati Ibrahim telah hancur dan sukar untuk pulih kembali. Semangatnya untuk meneruskan pembelajaran, kekuatannya untuk sentiasa menjaga penampilan dan kekemasan, cita-citanya untuk menyimpan wang untuk masa depan, dan juga kemesraan hubungan yang ditunjukkan olehnya kepada kawan-kawan telah hilang. Tiada lagi erti hidup baginya, dan tiada lagi deraian air mata cinta pada Allah yang Maha Esa.

Hanya kerana seorang perempuan..


***

Erti Cinta itu

Tatkala seseorang itu melahirkan keinginan yang tinggi terhadap sesuatu maka itu sudah boleh dikategorikan sebagai cinta. Tetapi cinta itu juga ada yang rapuh, dan ada yang sangat kuat mencengkam di dalam dada. Terlihat manusia itu mempunyai kesannya yang tersendiri tatkala bercinta dan ianya sesuai dilakarkan dengan bait syair ini,

jika mencintai itu indah mengapa harus ada air mata
jika mencintai itu menyakitkan kenapa harus ada tawa
cinta bisa bikin terbang walau tak bersayap
cinta bisa bikin mati walau tak membunuh
cinta itu kadang bisa apa saja…..

Saya sangat ajaib ketika melihat perubahan yang berlaku kepada seseorang saat mereka sedang bercinta. Kadang-kadang mereka gembira, terlebih gembira. Segala apa yang dilakukannya pasti diiringi senyuman, wajah mereka berseri, bersungguh-sungguh dalam apa yang dilakukannya, dan banyak perubahan mereka sangat positif. Kadang-kadang mereka juga sedih, tersangat sedih. Di dalam fikiran mereka hanya terfikir bayang sang kekasih, makan tak lalu, mandi tak berapa basah, muka hilang seri dan kadang-kadang sang lelaki boleh berderai air matanya. Ajaibnya cinta, perasaan yang dikurnia oleh ilahi.

Pelbagai lagu juga sudah digubal kerana penangan kehebatan cinta. Sungguh, cinta mampu mengubah sebuah dunia kepada kehancuran atau kepada kesempurnaan. Ramai yang bersyukur bahkan menyalahkan tuhan tatkala dikurnia rasa cinta. Mereka bertanya dan bertanya. Sehingga satu masa, mereka melanggar hukum Allah dan menuruti kata hatinya, kata nafsunya. Dan ironi sekali kerana mereka ibarat meletakkan tanggungjawab pada Allah dan berkata,

“Engkau yang memberikan perasaan ini ke dalam hati kami, maka tanggunglah atas kesalahanMu itu..”

Manusia yang cetek akal, tidak mahu berfikir hikmah cinta itu. Sedarkah mereka, kadang-kadang satu nikmat itu dikurniakan boleh jadi sebagai rahmat, dan boleh jadi sebagai ujian. Gagalnya menempuh ujian, akhirnya membuatkan diri kita semakin jauh daripada Sang Pencipta. Dan sedarkah mereka juga bersalah untuk terus jatuh cinta.

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (Surah Ar-Ra’du, 13:11)

Saya percaya bahawa manusia mempunyai jodoh yang berbilang yakni “Multiple Choice”. Allah meletakkan pilihan pada kita. Ada yang baik dan tersangat baik, dan ada juga yang buruk dan tersangat buruk. Sememangnya tak mustahil bagi seseorang berkahwin lebih daripada satu kali, dan bercerai lebih daripada satu kali. Semuanya bergantung kepada pilihan kita sendiri, cara kita menjaga hubungan itu dan percaturan yang Maha Esa. Dan ketahuilah, jodoh itu boleh jadi sebagai rahmat bagi kita dan ujian yang boleh meningkatkan atau mengurangkan iman.


Secara lumrah, manusia itu mudah jatuh cinta sebenarnya. Asalkan ia memenuhi kondisi dan syaratnya untuk mempertaut hati. Namun kadang-kadang ia boleh menjadi sukar kerana pegangan, persepsi dan juga pengalaman masing-masing. Ianya menjadi lebih mudah tatkala seseorang itu bergaul bebas dengan berlainan jantina, dan kita boleh lihat berapa ramai yang berpasangan dan akhirnya ‘break up’ di pertengahan jalan. Saya yakin ramai di antara mereka yang betul-betul jatuh cinta ataupun berusaha untuk mendapatkannya.

Namun ketahuilah, dalam tulusnya perasaan manusia terdapat syaitan yang mengambil kesempatan. Membawa mereka untuk membuat pilihan yang salah dan jauh dari garisan hukum yang telah ditetapkan Allah.

Mereka saling bantu membantu antara satu sama lain untuk menyesatkan manusia dan jin sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)

“Sesungguhnya dia (syaitan) dan kuncunya dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah al-A’raf, ayat 27).

“Sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah maka syaitan adalah teman yang selalu bersamanya.” (Surah Az-Zukhruf, ayat 36).

Ketahuilah sahabat yang disayangi. Jagalah diri anda supaya tidak bercinta di dalam kerangka yang tidak diizinkan oleh Allah swt. Bercintalah dengan cara yang halal, yakni pernikahan. Sekiranya sudah jatuh cinta, lihatlah kemampuan masing-masing sama ada boleh menikah ataupun tidak. Sekiranya tidak mampu, maka berpuasalah dan bersabarlah sesungguh hati. Meyakini ketetapan ilahi itu juga sebahagian daripada iman.

Jauhkan diri daripada bermesej lagho dengan kekasih hati, bawa kepada perbincangan serius dengan memberitahu terus kepada Ayah dan Ibunya. Jangan mengambil masa yang terlalu lama untuk berkenalan kerana boleh jadi syaitan itu akan memperdaya kamu. Ketahuilah, sekiranya kamu takut maka kamu takut kerana salah dan tidak ada pendirian yang selari dengan keimanan pada Allah. Dan sekiranya kamu berani, meyakini pertolongan Allah dan bertindak benar tanpa bermaksiat kepada-Nya, ketahuilah pertolonganNya sangat dekat.

Dan jangan lupa mengadakan persiapan untuk melengkapkan separuh daripada agama. Dari segi ketaqwaan, perbelanjaan, pemikiran, dan juga perancangan masa depan. Jangan dimulai sekiranya tak mampu berjanji.. Wallahua’lam

P/S – Selamat Hari Raya yang ketiga kepada semua pembaca. Saya mohon ampun dan maaf serta berharap agar pembaca semua dikurniakan kebahagiaan hakiki daripada ilahi. Aminnn…




Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Segala bentuk kritikan adalah sangat dialu-alukan. Andai masih lagi ada waktu, saya akan cuba memperbaiki setiap sisi kelemahan..

Jika berminat untuk menyebarkan artikel-artikel yang ada, boleh copy dan juga paste artikel tersebut. Cuma diharapkan dapat menyediakan link kepada blog ini kembali. Tetapi jika tak sudi, tak mengapa. Sama-sama ikhlas yuk~

Wallahua'lam. Saya hanya hamba lemah yang memerlukan kekuatan. 





 

Award

Loading...

Muslim Blogger United

Twitter Update