RSS
email

Link Exchange

Umur itu Angka, Wajah itu Luaran




Selesai mesyuarat, saya bersiap-siap untuk pulang dan tangan kanan saya mencapai helmet yang letaknya di atas meja belakang bilik mesyuarat. Sambil menyeluk poket kanan seluar, mulut saya mengomel sesuatu yang sekarang ini sudah saya lupa akan perihalnya. Sebaik sahaja menuruni tangga dan motor pun sudah dihidupkan, bismillah saya dahulukan agar motor yang dibawa dihalakan ke arah jalan yang lurus dan selamat dari sebarang musibah.

Sebaik sahaja sampai di rumah, saya disapa oleh teman serumah yang pada waktu ketika itu sedang sibuk menyiapkan kerja khusus yang ‘due date’nya semakin hampir. Tetapi saya tak berapa mengendahkan keadaan sekitar dan segera mencapai tilam nipis untuk dijadikan tempat ‘beradu’. Mungkin kerana kepenatan sehari-hari yang masih lagi tidak hilang membuatkan badan saya agak lesu, tidak bertenaga dan cepat letih. Ditambah lagi dengan keadaan saya yang sudah jarang beriadah, membuatkan badan sangat tidak ‘fit’. Kalau dah kahwin nanti taktaulah..

Sedar-sedar sahaja, mata saya tiba-tiba terbuka seperti dikejutkan. Tetapi pada waktu itu suasana masih gelap dan tiada yang terjaga melainkan saya. Tiba-tiba, telinga saya seperti menangkap sesuatu, kedengaran seperti esak tangis yang tersedu-sedu.

‘tskk.. tskk..’ Bunyi itu kedengaran dari bilik kecil di suatu sudut rumah.

Saya mengintai gerangan siapa yang menangis itu. Tetapi kegelapan menghadkan penglihatan saya. Namun saya pasti, yang sedang solat pada ketika itu jauh lebih muda daripada saya dan jauh lebih baik daripada saya.

Sungguh, rasa sangat malu kepada Allah dan malu pada diri.

***

Bila dah berusia, pengalaman pun bertambah. Kata orang yang lagi tua, “Aku lagi dulu makan garam dari kau” yang memaknakan bahawa mereka lebih dulu merasakan asam garam dan pahit manis kehidupan. Tapi kadang-kadang amal tidak memperlihatkan usia mereka. Kita selalu melihat orang-orang tua melepak bersembang sambil pekena teh dan menghisap rokok berjam-jam di kedai-kedai makan.

Matang dan berpengalaman ke macam tu?

Pernah juga melihat orang-orang dewasa yang bertempik, mencarut dan juga mengeluarkan kata-kata kesat berunsur fitnah ibarat mereka tu tak pernah tahu dan tidak pernah diajar mengenai adab-adab Islam. Selalu juga melihat pergaduhan banyaknya berlaku dikalangan orang dewasa. Mungkin pergaduhan antara mereka matang kerana ianya disandarkan pada politik, berbanding orang muda yang bergaduh hanya kerana masalah cinta. Tapi, matang ke macam tu?

Tapi, saya tidak mahu berbincang isu mengenai politik di Malaysia dan saya mahu kita memperhati isu peribadi diri kita sendiri yang kalah dengan peribadi orang yang lebih muda daripada kita. Bercermin pada diri, dan memuhasabah diri sendiri. Kadang-kadang apa salahnya.

Saya pernah terfikir, yang sepanjang saya hidup ni saya dah bazirkan pada banyak benda yang sangat tak bermanfaat. Akibatnya, saya gagal untuk menghafaz al-quran lebih daripada 1 juzuk, gagal juga untuk baca banyak buku, gagal untuk skor dalam akademik, gagal untuk belajar hidup berdikari, dan gagal juga memperbaiki prestasi diri yang serba kurang ini.

Bila saya memperhatikan orang lain yang lebih muda, yang berada di kalangan orang tarbiyah, yang ada di samping saya sepanjang hidup ini, saya melihat kelemahan-kelemahan pada diri saya dan membuat konklusi yang diri ini sudah jauh ketinggalan. Ketinggalan dari segi duniawi dan ukhrawi, sedangkan saya jauh lebih tua daripada mereka.

Kadang-kadang mereka bertindak lebih bijak daripada saya, dan lebih proaktif yang mana membuatkan diri ini sering tercabar. Wallahua’lam, saya tak merasakan bahawa dia mempunyai bakat luarbiasa tetapi hanya kerana dia telah memanfaatkan setiap inci masanya. Kalau saya, saya sentiasa ‘memanfaatkan’ masa saya di hadapan komputer.. hermphhh..

Jadi, harapnya dengan Ramadhan kali ni dapatlah kita sama-sama berusaha sungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Manfaatkan masa sebaiknya, dan jangan membenarkan orang yang lebih muda daripada kita menjadi lebih baik, dan persaingan ini kita lakukanlah dalam suasana yang sihat. Jangan pernah menghalang, tetapi bersikap lebih matang dan tingkatkan prestasi.. Lagi-lagi tengah bujang ni, nanti dah kahwin susah pulak~

P/S – Selamat melakukan persediaan sebelum menghadapi bulan Ramadhan. Jadikan Ramadhan ini lebih baik daripada Ramadhan lalu. Kalau tak pernah bergaul dengan orang yang ditarbiyah, bergaullah dengan mereka dan lihat macam mana mereka memanfaatkan Ramadhan mereka. Tapi tak semua orang yang ditarbiyah tu mantap semuanya, namun kebanyakan daripada mereka sangat menjaga.

P/S lagi satu – Mengenai tajuk yang meletakkan wajah itu hanya luaran, kadang-kadang orang lain muka takdelah matang sangat dan agak kebudak-budakan. Tetapi boleh jadi mereka beramal lebih dari kita, dan berfikir lebih hebat daripada kita. Fikirkanlah~

Wallahua’lam~

 

Ni sajak daripada seorang sahabat, silakan mentafsir dengan tafsiran yang mendekatkan diri dengan Allah swt.


DIDIKAN RAMADHAN -



Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!



KemuliaanMu ya Allah Tuhan Maha Terpuji,

Kemuliaan yang tidak mungkin sama sekali dapat diatasi,

Indahnya hidup ini kerana diawasi,

OlehMu ya Allah yang Maha Tinggi.



Ramadhan Engkau ya Allah hampir tiba kini,

Datang Membawa Keberkahan yang tidak terperi,

Panjangkan usiaku ya Allah ya Robbi,

Hingga ke titik akhir Ramadhan tahun ini.



Sebelum ini, Ramadhan datang dan Ramadhan pergi,

Membawa rahsia keikhlasan diri di sisi Ilahi,

Aku sedar dan aku menyesali,

Akan lemahnya diri dan iman ini disaat Ramadhan pergi.



Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Memahami,

Diri ini amat rindukan Ramadhan di sisiMu Ilahi,

Aku azam dan aku tekad kini,

Untuk manfaatkan sebaiknya Ramadhan ini sebelum ia pergi.





Berikan kekuatan kepadaku ya Robbi,

Untuk mencintai Ramadhan seikhlas hati,

Persiapan dan persediaan iman perlu ditingkat lagi,

Agar tidak menyesal buat kesekian kali.



Ramadhan madrasah iman untuk para Da’ie

Tonik terbaik untuk muhasabah diri,

Renungkanlah kembali diri di sisi Ilahi,

Agar tidak menjadi Da’ie yang rugi.



Ya Allah ya Rahim, Tuhan Maha Perkasa dan Maha Kuasai

Dengan hadirnya Ramadhan yang mulia ini,

Jangan Engkau golongkan aku di kalangan Da’ie yang rugi,

Da’ie yang tidak mampu melawan hasutan kemewahan duniawi.



Berikanlah petunjukMu kepadaku ya Allah ya Robbi,

Agar dapat menguasai nafsu diri daripada merajai,

Dengan Keazaman dan jatidiri yang tinggi,

Untuk menjadi Da’ie yang diredhai,



Ramadhan oh Ramadhan jangan engkau pergi,

Tanpa meninggalkan diri ini dengan kesan tarbiyah Ilahi,

Aku tak rela lagi melepaskan peluang keemasan ini,

Kerana aku sedar nyawaku kepunyaan mutlak Ilahi.



Marilah sama-sama kita merenung kembali,

Sejauhmana keihklasan hati di hadapan Ilahi

Jangan sampai kematian menjemput nanti,

Ketika itu tiada lagi rayuan didengari.





Nukilan Dari :

Rosidi Shahari

AJK Biro Dakwah

Ikatan Muslimin Malaysia

Cawangan Perak.



Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Segala bentuk kritikan adalah sangat dialu-alukan. Andai masih lagi ada waktu, saya akan cuba memperbaiki setiap sisi kelemahan..

Jika berminat untuk menyebarkan artikel-artikel yang ada, boleh copy dan juga paste artikel tersebut. Cuma diharapkan dapat menyediakan link kepada blog ini kembali. Tetapi jika tak sudi, tak mengapa. Sama-sama ikhlas yuk~

Wallahua'lam. Saya hanya hamba lemah yang memerlukan kekuatan. 





 

Award

Loading...

Muslim Blogger United

Twitter Update