“Bismillahirrahmanirrahim”
Air mutlak disapukan ke wajah, diratakan ke seluruh muka. Diulang hingga kali ketiga. Suara hati masih lagi tidak tenteram. Dia teringatkan peristiwa seorang perempuan histeria meracau di laluan lalu lalang di kawasan dewan kuliah. Entah kenapa, dari dahulu sehingga sekarang, naluri untuk membantu hanya terbantut di dalam hati.
Bila melihat orang dalam permasalahan, kaki itu terasa berat untuk berganjak. Bila ada orang meminta sedekah, tangan sukar untuk menghulur. Bahkan di rumah juga, perlu dipaksa barulah tulang itu dapat diringankan untuk membantu ibu. Keputusan untuk berlalu pergi hanya membuatkan imannya merintih, dan kini dia cuba meredakan kecamuk dalamannya dengan solat sunat di waktu dhuha.
Sedang dia leka dalam renungan, tanpa disedari dia sudah selesai menunaikan wuduknya.
‘Astaghfirullahalazim.. lekanya aku.’ Azman menginsafi kelekaan akalnya. Dia terasa seperti telah berwuduk, tetapi wuduknya ‘kosong’.. Tidak ada ruh dan rasanya ‘tawar’ sahaja. Dia menadahkan tangan, segera memanjatkan doa kepada Allah agar dibersihkan kembali hati itu. Dia tidak mengulangi wuduknya, kerana ia hanya satu bentuk pembaziran dan bukanlah air itu yang menyucikan dosa tetapi Allah yang mengampunkan dosa.
Kaki kanannya melangkah ke dalam Surau Al-Hidayah yang kelihatan lengang dan senyap sunyi. Dia merasa sedikit pelik, kerana kipas berpusing tetapi tidak ada orang di dalam. Namun, tidak dia pedulikan. Hatinya sedang basah dengan istighfar, bermuhasabah akan kelemahan diri.
Selesai membaca doa, Azman terus melangkahkan kaki keluar daripada surau. Sedang dia menyarungkan stoking dan kasut, dia teringatkan kipas di bahagian muslimat yang tidak dimatikan suisnya. Baru sahaja dia bercadang untuk berdiri semula, dia terpandang beberapa pasang kasut di bahagian pintu masuk ke bahagian muslimat. Sejenak dia berfikir,
‘Eh, seliparnya ada. Tapi orangnya macam tak ada. Tidor ke? Tapi asrama takdelah jauh sangat. Herm, takpelah.’
Azman kembali mengorakkan langkah, langkahnya segar kembali. Tidak lagi diserabutkan dengan kekusutan dosa. Sambil menekan butang telefon bimbitnya, dia merancang semula perjalanan hariannya. Dia bercadang untuk untuk makan tengah hari bersama Firdaus dan Lukman di Kafe Tudung Saji. Boleh nanti dia bincangkan dengan mereka mengenai aktiviti persatuan mereka.
Tidak sampai seminit, sahabat-sahabatnya itu sudah membalas.
“Boleh jugak tu. Entah apa lah nak jadi dengan Persatuan Rekreasi kita tu. Nanti jumpa kat sana pukul 1 ye.” Lukman membalas panjang dan Firdaus hanya membalas pendek,
“Okay”.
***
‘Herm, nak mengurus satu persatuan pun susah. Inikan pulak nanti nak mengurus satu keluarga. Dengan battalion sebanyak 8 orang untuk dididik. Yang lelaki ada lima orang, nakal-nakal pulak semuanya. Adoiii. Lagikan susah kalau seandainya bini aku sibuk kerja je. Herm, alamatnya jadi suri rumah lah aku. Hahaha.’
Azman termenung sebentar, sambil tersengih-sengih sendirian. Lamunan pendeknya semakin lama semakin merapu. Sambil meneguk air teh ais di kafe, dia menunggu kedatangan sahabat-sahabatnya. Bagi menghilangkan bosan, dia mengeluarkan pensel dan kertas. Tangannya lincah melukis gambar kartun. Sedikit demi sedikit, lakaran itu semakin sempurna membentuk karakter seorang lelaki sedang berlari.
Sedang Azman asyik melukis, tiba-tiba dia merasakan satu kelibat yang dikenalinya lalu melepasinya. Dia segera menyembunyikan lukisan itu dan berpaling ke belakang, tiada siapa yang dikenalinya kelihatan. Yang ada hanyalah beberapa gadis muda bertudung sedang memilih-milih makanan. Hatinya kurang tertarik.
Dia memalingkan wajahnya ke hadapan kembali. Tetapi, seperti ada suatu daya yang menariknya untuk berpaling semula. Selepas berpaling semula, dia terpandang satu wajah yang seperti dikenalinya.
‘Eh, macam kenal je perempuan tu. Haa.. tu perempuan yang tolong budak yang kena histeria tadi. Tudung labuh warna ungu, dengan jubah panjang warna biru cair. Eh, betullah..’
Di kala itu Fatimah Nursyam merasakan dirinya diperhati. Dia memandang ke arah Azman. Azman yang seperti merasakan pandangannya itu diketahui cepat-cepat berpaling semula ke hadapan. Berpura-pura minum air. Sedang Azman berusaha untuk berlakon, tiba-tiba..
“Assalamualaikum Man, hoho.. Mintak maaflah sebab lambat tadi. Ada ‘masalah’ sikit tadi. Firdaus ni haa, dari tadi sakit perut. Aku tolong temankan dia je.” Lukman menepuk bahu kiri Azman sambil merapatkan kedua-dua telapak tangannya dan memohon maaf.
Firdaus hanya tersenyum sahaja. Dia terus mengambil tempat di hadapan Azman dan melepaskan keluhan. “Aduh, tak laratlah aku..”
Azman yang terkesima cuba berlagak tenang. Nyaris-nyaris sahaja dia ‘tertangkap’ oleh penglihatan Nursyam. Dia terus menghirup air teh ais yang tinggal hanya separuh penuh sambil tersenyum sumbing. Lukisannya yang separuh siap tadi dikeluarkan semula dan mereka mula rancak berbincang mengenai permasalahan persatuan mereka itu.
Dalam diam, suara hatinya berbicara. Memujuk-mujuk akal untuk memikirkan wajah gadis yang tidak berapa dikenalinya itu. Rasa takjub dan kagum kepada perempuan itu kerana keberanian dan ketenangannya sangat mencuit hati. Dan yang lebih penting, gadis itu sangat menjaga aurat dan pandangannya. Sungguh, suara hati itu ingin berbicara. Tetapi apakan daya, suara hati itu tidak mampu untuk berkata-kata. Akhirnya, ia kekal membisu terperusuk ke dalam relung hati yang paling dalam.
Tamat bahagian 1, bersambung..
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”
(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)








0 comments:
Post a Comment