RSS
email

Link Exchange

Suara Hati Yang Bisu - Episod 3

Segala-galanya gelap gelita, tidak ada apa yang berada di sekelilingnya. Nur Afifah telah terjaga, tetapi dia tidak mampu untuk membuka matanya. Dia berada di sebuah dunia, yang diselubungi kegelapan. Dunia tanpa cahaya.

Namun, tiba-tiba muncul sebuah skrin bergambar di hadapannya. Di situ, terlihat segala memori-memori silam yang pernah dilalui oleh Nur Afifah. Ibarat sebuah panggung, ingatannya kembali segar dengan hilai tawa ketika dia kanak-kanak. Bermain bersama-sama dengan ibu dan bapanya.

“Afifah, mari sini. Kita potong kek. Sekarang Afifah dah 6 tahun, Afifah dah besar. Afifah kena jadi budak baik tau. Jangan nakal-nakal.”

“Erm.. Afifah janji.” Kanak-kanak itu tersenyum mongel dan terus menghembus lilin kek yang sudah berada di hadapannya.

Sumber : google

Skrin tadi terpadam, dan kini muncul semula memaparkan satu ketika, ketika dia bersama ibu dan ayahnya di dalam sebuah kereta. Ibu selalu mengusiknya, dia merasakan kebahagiaan yang tidak terkira. Ayah pula hanya tersenyum bersahaja, melihat hanya sekadar di cermin pandang belakang.

“Petang ni kita pergi makan di Pizza Hut ye? Kita nak ‘celebrate’. Afifah kan dapat tempat pertama. Kali ni dah kali ketiga Afifah dapat nombor satu. Dari darjah satu sampailah darjah tiga. Anak ummi memang bijak kan?” Ibu memandang ke arahnya sambil menghulurkan tangan kiri menyapa mesra pipi kanannya.

“Eh bang!!” Tanpa disangka-sangka, lori dihadapan berhenti secara tiba-tiba. Ayah tidak sempat menekan brek dan akhirnya kereta Honda City itu sedikit terperosok ke bahagian bawah lori. Segalanya kelam selepas itu..

***

“Ibu!!” Afifah tiba-tiba menjerit. Baru sahaja tersedar dari pengsannya.

Keringat dingin membasahi seluruh tubuhnya. Dia kini terpinga-pinga dengan situasi yang sedang berlaku. Badannya terasa lemah, tidak bertenaga. Dia melihat beberapa wajah yang tidak dikenalinya duduk mengelilinginya. Hanya seorang yang dia kenal,

“Syahirah, aku kat mana sebenarnya ni?” Dia memandang ke arah remaja perempuan berbaju t-shirt merah serta tidak bertudung yang berada di sebelah kanannya. Wajahnya penuh dengan tanda tanya. Keliru..

Wanita yang dikatakan Syahirah itu mendekat ke arahnya, menggosok-gosok belakang Nur Afifah.

“Tenang Afifah, sekarang ni kita ada kat surau. Tadi kau histeria, lepas tu kau pengsan. Kau patut terima kasih dengan kakak Nursyam, sebab dia yang tolong kau tadi. Kalau tak, mungkin sekarang ni kau tengah sibuk meracau yang bukan-bukan.”

Afifah membulatkan matanya, cuba mengenal pasti gerangan yang telah membantunya tadi. Dia melihat suatu sudut, baru terdengar di telinganya suara perlahan bacaan ayat-ayat al-quran. Tetapi, dia tetap tidak mampu mengenal pasti. Nursyam adalah orang asing bagi dirinya.

Nursyam menghabiskan ayat-ayat terakhir bacaannya. Dia menutup kemas Al-Quran terjemahan kecil jenis zip berwarna hijau dan meletakkan di dalam beg tangannya. Nursyam sebenarnya cuba menenangkan dirinya, kerana peristiwa yang baru sahaja dilaluinya sebentar tadi agak menelan tenaga dan sedikit menganggu emosinya.

‘Syukur Alhamdulillah, hati yang tidak menentu tadi dapat aku tenangkan kembali. Ya Allah, tsabbit qulubana ‘ala dinik, tsabbit qulubana ‘ala dinik..’

Sambil Nursyam melangkah ke arah Nur Afifah yang kini sudah tersedar dari pengsannya. Tiba-tiba dia kedengaran bunyi derapan kasut melangkah ke arah surau. Dia melihat seorang lelaki yang tiba-tiba melangkah masuk dan meletakkan begnya. Kemudian, lelaki itu terus mengerjakan solat sunat tanpa bertangguh.

‘Eh, solat sunat dhuha? Herm..’ Mata Nursyam melirik ke arah bayang-bayang lelaki itu. Tabir yang menghalang membuatkan dia tidak mampu untuk mengecam muka lelaki tersebut. Sejenak cuma, selepas menadahkan doa lelaki tersebut terus melangkah meninggalkan dewan solat itu.

Nursyam merasakan desiran yang luar biasa pada hatinya. Sentuhan akhlaq lelaki tidak bernama itu membuatkan hatinya sedikit terusik. Dia teringat akan mimpi yang dilaluinya malam semalam. Terbit senyuman kecil dari bibirnya, namun tetap dia merasakan itu cuma permainan hati.

Ibarat cengkerik yang bersembunyi di waktu malam, suasana sebentar tadi tiba-tiba sepi. Yang kedengaran hanya bunyi kipas berputar, dan derapan langkah solat yang dilakukan lelaki itu. Selepas sahaja lelaki itu keluar, suasana kembali seperti sedia kala. Perbualan mereka hangat kembali, berkenal-kenalan dan berbincang masalah peribadi. Nursyam menjadi perhatian mereka kerana banyak berjasa membantu Nur Afifah pada hari itu.

Keserabutan yang berada di minda Nur Afifah akhirnya terungkai selepas mendengar penjelasan daripada Nursyam. Dia merasakan dirinya teramat lemah, dari segi luaran dan dalaman. Sekiranya jiwanya tabah, dan dirinya bersih sudah pasti dia tidak akan terkena histeria. Di kesempatan itu, dia mengambil peluang untuk meminta nasihat daripada seorang ‘kakak’. Mungkin sudah lama bagi dirinya, tidak mendapat kasih seorang ibu.

Aisyah dan Ain yang turut bantuan meluahkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku. Mereka sendiri tidak mahu sekiranya perkara itu berlaku ke atas diri mereka. Atas rasa simpati itulah yang membuatkan mereka awal-awal lagi menghulurkan bantuan kepada Nursyam.

Syahirah pula hanya tersenyum melihat kawannya mendapat teman baru. Dia telah berkawan dengan Nur Afifah sejak kecil lagi. Dia tahu permasalahan yang dihadapi oleh sahabatnya itu. Dia berharap, agar pertemuan itu adalah takdir yang mampu mengubah Nur Afifah, dan juga kepada dirinya. Walaupun pada dirinya, pengharapan itu hanya sekadar bahasa jiwa.

…bersambung~  

Apabila wanita hilang imannya, maka muncullah fitnah kepada dunia~



Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Segala bentuk kritikan adalah sangat dialu-alukan. Andai masih lagi ada waktu, saya akan cuba memperbaiki setiap sisi kelemahan..

Jika berminat untuk menyebarkan artikel-artikel yang ada, boleh copy dan juga paste artikel tersebut. Cuma diharapkan dapat menyediakan link kepada blog ini kembali. Tetapi jika tak sudi, tak mengapa. Sama-sama ikhlas yuk~

Wallahua'lam. Saya hanya hamba lemah yang memerlukan kekuatan. 





 

Award

Loading...

Muslim Blogger United

Twitter Update