“Arghhh..” Terdengar suatu jeritan dari suatu sudut.
“Arghhhh……” Kini jeritan itu semakin kuat dan jelas kedengaran. Ianya datang dari belakang kelas. Semua pelajar di dalam dewan kuliah memandang ke arah tersebut. Mereka cuba mengenal pasti suara siapa yang menjerit. Suara perempuan..
Prof. Dr Maryam merasa sedikit terganggu, dia cuba meneruskan kuliah dan menenangkan perasaannya. Mungkin itu hanya suara pelajar perempuan diganggu oleh pelajar nakal. Di kolej itu, memang biasa pelajar lelakinya mengusik pelajar perempuan. Walaupun ianya sebuah kolej Islam.
“Tolong.. tolong aku. Kenapa kau ganggu aku lagi.. Arghhhhh.” Suara itu semakin garang, meracau tidak sudah. Prof Maryam sudah tidak senang hati, lantas melangkah menaiki anak tangga menuju ke luar dewan. Suasana menjadi gamat dan semua pelajar tertanya-tanya apakah situasi yang berlaku di luar.
Tiba-tiba pensyarah itu masuk ke dalam dewan semula. Wajahnya cemas. Dia memandang satu persatu muridnya. Nursyam yang turut memandang ke arah pensyarahnya lantas berlaga mata.
“Awak ikut saya, awak tahu banyak ilmu agama kan ?” Prof Maryam mendekati Nursyam, lantas meragut tangan kirinya.
“Erm.. Kenapa cikgu? Apa yang dah terjadi..”
“Ada budak yang kena histeria. Saya nak awak tolong ubatkan dia. Boleh kan ? Saya rasa kalau kita nak tunggu ustaz selesaikan masalah ni, nanti lagi ramai pula yang kena histeria. Boleh ye?” Prof Maryam cuba memujuk.
Fatimah Nursyam mengerutkan kening. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Di dalam hatinya terasa gusar sekali, kerana dia sendiri tidak pernah berpengalaman mengubati mangsa-mangsa histeria. Mungkin kerana dia bertudung labuh dan berpewatakan baik, membuatkan pensyarah itu terus mempercayai kemampuannya. Ketakutan cuba merasuki dirinya, tetapi Nursyam cepat-cepat beristighfar dan menenangkan diri.
“Ketepi, ketepi..” ujar pensyarah itu, meminta pelajar yang mengelilingi pelajar perempuan itu memberikan ruang untuk mereka lalu. “Awak tolong selesaikan masalah ni ye.”
Nursyam mendiamkan diri sambil menghampiri pelajar perempuan yang terbaring dihadapannya. Perempuan itu adalah Husna Afifah, pelajar jurusan komputer dan Teknologi yang sama tahun pembelajaran dengannya. Tudungnya pula sudah kusut masai, dan baju kurung birunya sudah berdebu. Sejak dari tadi dia menjerit-jerit, meracau yang bukan-bukan. Kadang-kadang suaranya normal, kadang-kadang suaranya garau. Dia juga bercakap seorang diri, bercakap merepek tanpa difahami orang.
Tiba-tiba Nursyam beredar, dia bergegas menuju ke tandas perempuan berdekatan tempat itu. Rupa-rupanya dia pergi untuk mengambil wuduk. Wuduk penting dalam menangani mangsa histeria. Ianya dapat menambah kekuatan dalaman, supaya tidak mudah lemah semangat.
Kemudian, dia tampil kembali di hadapan Afifah. Dia meminta beberapa orang pelajar perempuan untuk membantunya memegang Afifah, supaya proses mengubatinya dapat berjalan lancar. Afifah meracau sendirian, menjerit secara tiba-tiba dan kadang-kadang merentap kuat pegangan ke atasnya. Walaupun orang semakin ramai mengerumuni, tetapi Afifah sedikit pun tidak mempedulikan mereka. Dia seperti berada di dalam dunianya sendiri.
Dua orang pelajar perempuan yang datang membantunya sedikit cemas tetapi apabila melihat Nursyam tenang, mereka cuba menguatkan hati. “Bismillahirahhmanirrahim, dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..” lantas Nursyam memukul belakang Afifah dengan belakang tangannya. Kelihatan dua pelajar perempuan itu terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Nursyam. Pelajar-pelajar lain pula semakin menjauhkan diri, tidak mahu menolong.
“Kamu berdua tenang ye. Saya pun takut juga, tapi kita cuba habiskan cepat InsyaAllah. Boleh saya tahu siapa nama kamu berdua?”
“Saya Ain, dan dia ni Aisyah. Boleh kami tahu, nama akak siapa ye?” Gadis berbaju kurung kuning itu memperkenalkan dirinya.
“Saya Nursyam. Erm, boleh saya mintak tolong. Tolong ambilkan kad pengenalan dia. Mungkin ada di dalam beg duitnya.” Nursyam masih lagi menepuk-nepuk belakang Afifah, sambil mulutnya membaca kalimah-kalimah kebesaran Allah swt.
Aisyah yang berbaju kurung biru memberanikan diri untuk mengambil beg duit yang berada di dalam poket baju kurung Afifah. Selepas mendapatkannya, dia cepat-cepat menyerahkannya kepada Nursyam. Dia sebenarnya bingung, apakah kegunaan kad pengenalan tersebut.
Selepas membaca ayat kursi, Nursyam membaca
" Dengan Nama Allah yang Maha Agung Lagi Perkasa aku meru'qyah mu wahai Nur Husna Afifah Binti Zakaria..” secara tiba-tiba Husna Afifah menguatkan rentapannya. Tubuhnya menggigil, dan anak matanya tidak kelihatan. Terdapat juga buih-buih keluar daripada mulutnya. Nursyam mengarahkan Ain untuk mendapatkan tuala mini yang terdapat di dalam beg tangan miliknya. Tuala mini itu untuk diletakkan pada mulut Afifah, takut kalau-kalau dia tergigit lidahnya.
Selang kemudian, Nursyam membaca surah al-fatihah dan surah Muawidzat (Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas). Hatinya merintih kepada Allah agar memberikan pertolongan kepadanya. Berulang-ulang kali dia membacakan ayat-ayat suci Al-Quran itu. Sambil menarik nafas sedalam-dalamnya, dia menutup mata.
“Ya Lathif Ulthuf Bina, Ya Lathif Ultuf Bina..” Bacaan Nursyam semakin syahdu, kedengaran esak tangisannya pada ketika itu. Kini dia bertawakal kepada Allah, kerana Allah adalah sebaik-baik Pencipta dan sudah tentu menolong hamba-Nya yang bertawakkal.
Pergerakan Husna Afifah semakin perlahan, tidak lagi meronta-ronta seperti sebelumnya. Dia juga sudah berhenti meracau. Nursyam membuka matanya, dia melihat gadis dihadapannya itu sudah kembali tenang, dan telah tertidur. Keringat membasahi mereka.
“Alhamdulillah..” kesyukuran dititipkan di bibir, selepas Allah mendengar rintihan hamba-Nya. Sungguh, Allah Maha Penyayang.
“Mari, kita bawa dia ke Surau. Kita tak boleh biarkan dia macam ni je. Malu dia nanti.” Sedikit sebanyak, hati mereka lega kerana segalanya telah selesai. Timbul rasa kagum pada orang ramai atas kemampuan Nursyam mengubati histeria. Bahkan, dia seorang perempuan. Selalunya perempuan takut, dan menghindarkan diri. Kadang-kadang pula, mereka sendiri yang histeria kerana lemah semangat.
“Biar saya tolong sekali.” Seorang gadis berbaju t-shirt merah, tidak bertudung turut memberikan pertolongan. Semua mata memandang ke arahnya. Tetapi sedikit pun dia tidak pedulikan.
Bersambung…
"Wanita Islam di Eropah berjuang menuntut hak kebebasan bertudung. Kenapa pula wanita Islam di Malaysia boleh hilang pula tudungnya?"
"Jadilah wanita berani, fight for the truth of Islam, not for your lust"









10 comments:
lepas tu apa yang terjadi kepada Afifah??
lepas tu apa yang terjadi kepada Afifah??
5myze:
haaa.. nantikan yang terbaik daripada agar bisa menangis di episod yang akan datang~
aish..sambungan pulak..cepat la sambungan nye zuber..hhehe
macedonia:
pernah diserang histeria ke? Tapi, saya rasa mesti seksa punye. Ada kawan, sedar-sedar je badan sakit-sakit.
ada yang berdarah mulut.. macam2 hal~
aminbaek: nak buat macam mana, cerita dah nak bersambung. Takpe2, harap bersabar ye.
harap cerita ni dapat bertahan lama~
dh smakin mntaplah cra pnceritaan nta... rsa dbar2 tu ada :)
smoga trus ikhlas ya akh!
hariz khair ad-deen:
haa.. cuba teka ape yang akan berlaku lepas ni? kalau dapat teka tu memang mantop lah~
hehe
Post a Comment